Wednesday, December 28, 2011

Batu Belah Batu Konkrit (Bonda) - Monoloque ft Azlina Aziz



Wahai anakanda ku sayang
Kemana hilang budaya
Diculik piring terbang
Atau ditelan buaya

Tiada peluang tiada ruang
Semua mahu cepat kaya
Apabila semua dah hilang
Barulah hendak percaya

Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepit
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan batu belah batu konkrit

Wahai anakanda ku sayang
Kenapa gadai pusaka
Sebab cinta atau wang
Atau kerana kurang peka
Seperti lalang-lalang
Suka belot suka leka
Ikut telunjuk bayang-bayang
Akhirnya diri terluka

Melihat semua ini
Hati bonda menjerit
Lepaskan bonda lari
Dari dihimpit putar belit masyarakat hipokrit

Wahai bonda jangan merajuk
Bonda jangan makan hati
Anakanda disini memujuk
Dan anakanda takkan berhenti
Kini sedar dari mimpi
Baru faham semua ini
Bonda tolong jangan pergi
Maafkan anakmu

Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepit
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan batu belah batu konkrit
Dari dihimpit putar belit hamba duit masyarakat hipokrit
Bonda rela dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit

Wednesday, December 21, 2011

Black Rose - Cinta Abadi



Kehadiran cintamu
Menyinari hidupku
Kehangatan cintamu
Mengubati sepiku

Kelembutan hatimu
Mengubati lukaku
Kedamaian hatimu
Menyinari hidupku

Belaian manjamu
Penawar resahku
Keluhuran hatimu
Hanya kau kekasihku

Keagungan cintamu
Bersama impianku
Untuk hidup bersama
Sehingga keakhirnya

Makin membara
Api cintaku
Kaulah yang satu
Kaulah cintaku

Tak mungkin lagi
Berubah hati
Cinta yang suci
Cinta abadi

21 Warga SIngapura Yang Degil

MERSING: Sikap suka menyusahkan orang lain, degil serta keras kepala akhirnya menyebabkan 21 warga Singapura termasuk seorang bayi berusia setahun terkandas di kawasan Sungai Lembakoh, Taman Negara Endau-Rompin, di sini, sejak Ahad lalu.

Semua 21 warga Singapura terbabit turut diiringi tiga warga tempatan dan mereka akhirnya dibawa keluar dari sana pada jam 12.25 tengah hari semalam dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Pangkalan Subang, Selangor.


Semuanya bermula pada 17 Disember lalu apabila kumpulan terbabit ke pejabat Taman Negara Cawangan Kahang pada 17 Disember lalu, memohon kebenaran memasuki kawasan berkenaan namun tidak dibenarkan kerana ia ditutup kepada pengunjung.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata kumpulan itu bagaimanapun ingkar dengan arahan dan terus masuk ke sana menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda.


“Jarak lokasi itu kira-kira 56 kilometer dari Pekan Kahang dan mengambil masa dua jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai.


“Kumpulan itu tiba pada lewat petang dan kakitangan kami di sana terpaksa membenarkan mereka menginap di chalet kerana jika berpatah balik, ia mungkin membahayakan mereka berikutan hari hampir malam selain ancaman gajah,” katanya.

Menurut Suhairi, keesokan harinya dengan diiringi kakitangan Pejabat Taman Negara, kumpulan terbabit dibawa keluar namun terkandas di kawasan berhampiran Sungai Lembakoh kerana jalan dinaiki air.


Jalan berkenaan adalah jalan utama yang menghubungkan Taman Negara dengan Kahang.
Suhairi berkata, kawasan Taman Negara berkenaan ditutup kepada pengunjung sejak 1 Disember lalu kerana cuaca buruk dan akan dibuka kembali apabila keadaan diyakini selamat.


“Kumpulan terbabit terpaksa berpatah balik dan kembali menginap di chalet. Pengurusan Taman Negara terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat menghantar bekalan makanan berikutan mereka sudah dua hari terkandas di kawasan berkenaan tanpa bekalan makanan mencukupi.


“Tengah hari semalam, semua anggota kumpulan dikeluarkan menggunakan helikopter jenis Mi-8 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.


Kumpulan terbabit dibawa ke Lapangan Terbang Pesawat Ringan Seri Pantai di sini. Mereka diberi rawatan oleh petugas perubatan sebelum dipercayai terus dibawa pulang ke Singapura dengan bas.


Suhairi menasihatkan orang ramai yang berhasrat memasuki Taman Negara supaya merujuk kepada pihaknya terlebih dulu dan mematuhi arahan dikeluarkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.


“Bagi menjamin keselamatan pengunjung, kebenaran memasuki Taman Negara perlu dipohon dengan pihak berkuasa dan kami mempunyai sebab jika kawasan berkenaan ditutup ,” katanya.

sumber: Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor

Tuesday, December 20, 2011

Derita Sang Perindu


Saat ombak tidak lagi bawa khabar berita,
Sang pantai tetap menanti dengan sabar,
Menunggu utusan yang menghantu jiwa,
Bibir tidak lagi menguntum lebar.

Deru angin bernyanyi tanpa irama,
Si awan gelita menatap hiba,
Jiwa meronta menagih sebuah cinta,
Sampai ke syurga kunanti jua.

Kicauan unggas kian menyepi,
Mentari tak lagi menyinari bumi,
Hanya gelita temani hari,
Menanti puteri datang kembali.

by Jaydi Ibn Rash

Sekilas Wajah, Secarik Cinta


Masih aku ingat lagi pandangan mata itu. Saat pertama kali mataku berselisih dengannya. Sebuah rasa yang mungkin tidak pernah aku rasai. Sebatang tubuh wanita yang belum pernah aku kenali. Namun, sejuta tanda tanya bermain diminda dan hati. Siapa dia? Aku begitu kagum dengannya. Benar kata bonda, "mata hakim pertama". Tapi bukan aku tertarik dengan penampilannya. Mungkin ada 'kimia' yang sedang menghampirkan kami berdua. Saat itu lidah aku kelu seribu bahasa. Bodoh serba tak kena. Bagai lembu yang telah bodoh dicucuk hidungnya. Tapi mengapa? Siapa dia sebenarnya.

Saat berganti minit, kala jam bertukar hari, kini minggu bersulam tahun. Saban hari aku lewati dengan memori semalam. Masih mekar dalam kotak ingatan. Disaat getaran hatiku bermonolog sendirian agar aku menyapanya. Batinku menjerit memerintah aku mengenalinya. Kini baru ku sedar. Peristiwa itu menjadikan aku insan yang lena dilambung cinta. Aku menghargai dirinya. Walaupun apa bakal terjadi dengan jasadku di hari muka.

by Jaydi Ibn Rash

Monday, December 19, 2011

Pelajar IPTA Dirogol di Melaka

MELAKA: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami pendarahan selepas dipercayai dirogol teman lelakinya di sebuah hotel bajet di bandar raya ini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ketika ditemui anggota polis, gadis berusia 20 tahun itu sedang menangis dan bersandar di kaki lima hotel bajet berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang berkenalan dengan kekasihnya berusia 22 tahun itu sejak dua tahun lalu, keluar ke bandar raya ini bersama tiga lagi rakannya.

Sumber berkata, gadis itu dikatakan mengikuti teman lelakinya ke hotel berkenaan sebelum dia dirogol di situ.


Menurutnya, panik dengan pendarahan dialami mangsa, teman lelakinya dipercayai meninggalkan wanita berkenaan.

Pasangan Yang Ditahan Polis Di Ayer Keroh

Sepasang pakwe-makwer tengah memandu di highway ayer keroh telah di tahan polis….

pakwer : ada apa masalah encik ?
polis : anda di dapati memandu melebihi 110km
pakwer : mana ada encik,saya cuma pandu dalam 100km jer…mungkin meter saya rosak kot..
makwer : abang tak baik tipu polis tue…tadikan abang pandu lebih dari 150km…
polis : saya juga akan saman encik kerkenaan lampu brek encik tidak berfungsi…
pakwer : yeker lampu brek saya tak berfungsi? saya tak perasaan encik…minta maaf,nanti saya betulkan
makwer : abg..kan abg dah tahu berkenaan lampu tue rosak 2 minggu lepas..saya sendiri beritahu abg ..
polis: saya juga akan saman encik sebab encik tak pakai tali pinggang…
pakwer: saya baru jer bukak encik….masa encik tahan saya…
makwer : abg nie..kan abg tak pernah pakai tali pinggang…tak baik tipu encik nie
si pakwer yang tak tahan dengan kerenah makwer dia terus melenting.
pakwer : diam ler ko,semua ko beritahu polis…ko nak aku kena saman apa??lurus banggang betul ko…budusss,aku tepok paler ko kang…
polis : cik,,selalu ker PAKWER marah cik macam nie??
MAKWER : tak ler…dia jarang marah saya..kalau marah pun masa dia ISAP GANJA jer…

Thursday, December 15, 2011

Malek Ridzuan Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur



Aku datang dari desa
hanya sebatang kara
Meninggalkan kampung tercinta
dan sanak-saudara
Setiba dikotaraya
kugiat berkerja
berlumba-lumba mengejarkan
apa yang dicita

Meskipun badai yang melanda
aku terus melangkah
mengharungi hidup kota
dengan sepotong doa
Agar penghidupan
lebih maju bermakna
cuba membela nasib agama, bangsa, negara

*Chorus
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
menyinari hidupku
Kota yang penuh dengan cabaran
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
menyinari hidupku
Kota yang penuh dengan harapan

*Reff
Simiskin dan sikaya semua tiada dibeza
dikotaraya yang mempunyai berbilang bangsa
Bila larut senja menjelma sungguh indahnya
Oh bertapa aku terharu dan sungguh berbangga

Ulang Chorus

Sekadar Dipinggiran


Outdoor session yang tidak dirancang. Foto yang ditangkap di Melaka bersama kawan yang suda lama tidak jumpa. Sekadar melepaskan bosan dengan lensa yang sudah berhabuk kerana kekangan masa telah menyebabkan aku lupa seketika DSLR-ku

Wednesday, December 14, 2011

Apa? Gundah-Gulana?

Saat ini mata belum mampu dirapati. Sudah 4 pagi begini memang sunyi bila di desa yang belum dilacur kemajuan dunia. Nyanyi si unggas desa seakan tangisan langau dimindaku. Bingung sendirian. Aku sendiri kurang pasti apa yang berlegar di kotak hati. Rancangan Hawaii Five-O yang terpasang dikaca TV langsung tidak diendah. Gundah-gulana? Kerna apa? Apa yang telah berlaku sebenarnya?. Hanya peluru persoalan yang menerobos benak yang kian senak mencari jawapan. Tiada pula pertanda.

Jemari semakin rancak membelai papan kekunci yang saban waktu menanti. Tumbukan manja memilih aksara yang terlintas diminda tanpa memikirkan apa-apa. Itulah aku dikala ini. Sendiri tidak mengerti apa yang aku menekan dari tadi. Cuma perkataan "Gundah-Gulana" membayangi diri. Apa sebenarnya terjadi.

*hanya yang terlibat akan mengerti maksud disebalik coretan bodoh ini.

Aku Di Masa Lalu


Terkenang kembali saat itu. Aku masih kecil waktu itu. Masih 'skinhead' dikala itu. Masih suci dan daif tentang duniawi. Sekadar kuntuman pahit yang terhasil. Itulah aku suata ketika dulu. Sering beralah dengan sesiapa sahaja.

Kini telah jauh berubah. Botak bertukar Waveflow. Sawo matang menjadi 'Tanned'. Jiwa semakin matang. Tak pernah takut menongkah arus kehidupan seharian. Semakin berani menzahirkan ketidakpuasan dalam diri. Ternyata sungguh berbeza dari foto yang menarik aku mengimbau kembali zaman muda remaja. Sudah 23 tahun lalu foto ini. Di rumah Arwah Nenda. Ternyata semua telah merubah segalanya.

Thursday, December 8, 2011

Airmata Untukmu


Demi memenuhi permintaan seorang abang yang baru membeli komputer ribanya, membuatkan aku menangis sendirian. "Ko tlg watkan wallpaper gambar adeq mse kecik ngn sblm die...". Dialog ringkas dari abang sulongku. Badrie Syah. Nama yang tidak selalu menghantui aku pabila terlihat baldi. Anak buah aku yang pulang ke Rahmatullah seawal usia 1 tahun 8 bulan. Teringat kembali keletahnya yang suka menemankan aku menonton movie bersama eric.

Perlahan Adobe Photoshop CS4 dibuka. Tangan menaip beberapa kata kunci bagi mencari gambarnya. Paparan komputer riba jelas menayangkan gambar-gambarnya. Sepantas itu linangan air mataku gugur ke pipi. Kesayuan menyelubungi hati. Jemari mengeletar. Aku merinduinya. Eca. Aku benar-benar sayangkannya. Pernah aku terfikir untuk membawanya tinggal dengan ku di Shah Alam. Namun, Allah lebih menyayanginya.

Pertama kali seumur hidup aku menyiapkan projek PCS selama 1 jam, walaupun ringkas. Kebiasaannya, 5-10 minit memadai walaupun agak berselirat. Tapi 1 jam diambil untuk menyiapkan hasil ini walaupun ringkas. Esakan menemani aku sepanjang menyiapkannya.

Moga Rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.

Tuesday, December 6, 2011

Tinta Rasa


Letih... Sayu... Menghantu hati,
Sebak... Resah... Kian Menghimpit,
Hati ini dirobek, ingin aku memekik,
Menjerit sendiri... Jiwa ku yang sakit.

Gelap... Kabur... Pandangan mata,
Kisah... Cinta... Disandiwara,
Boneka ciptaan wanita, menikam hati arjuna,
Kalah berkasih... Jasad merana.

Pergi... Jauh... Usah kembali,
Diri... Ini... Rela sendiri,
Menahan sebak hati, menempuh onak diri.
Walau tiada puteri... Ku bahagia di sini.
Menanti mati...
Menjemputku pergi...

6/12/2012
12:06 p.m
Bilik Peperiksaan SPM SMK Seks 19, Shah Alam

Hati Mati

Tika rasa itu datang,
Aku nyaris tenggelam,
Fikiran melayang seperti lalang,
Bibir kelu tanpa kalam,
Umpama mimpi tidak bertiang,
Mencari erti cinta semalam.

Tika saat engkau pergi,
Tinggalkan diriku sendiri di sini,
Butir bicara telah dipatri,
Merobek hati dicarik duri,
Pedih saraf jantung terhenti,
Bagai mati nyawa disisi.

Biar aku jatuh sendiri,
Rebah sujud menyembah bumi,
Tika engkau ligat menari,
Mengejar nikmat si duniawi,
Hati Mati,
Hati Mati.

Sunday, December 4, 2011

Bila Ajal dan Nyawa Silih Berganti


4 hari aku pulang ke rumah bonda untuk menguruskan nombor pendaftaran adikku. Ingin memilikki motor kedua bagi memudahkannya pergi ke tempat kerja. Wanita menunggang motorsikal mungkin agak pelik suatu ketika dulu, tapi tidak hari ini. Motor lebih sesuai bagi mereka yang bekerja di kawasan yang trafik padat seperti adikku.

Nombor plat berjaya dimiliki mengikut kehendaknya. Hal motor pula perlu dibayar tunai bagi mengelak menanggung beban hutang bulanan. Pilihan yang berbaloi bagiku.

Selepas kenduri rumah makcik di Umbai, Melaka. Aku bertolak ke Shah Alam menunggang motor adikku yang baru dibeli semalam. Memang letih menunggang motor yang masih berpantang. Ditambah pula dengan hujan yang menggila. Hanya mampu memecut 90km/j sahaja. Selepas meredah 152km dari Melaka, akuu sampai di satu kawasan lapang di sempadan Sepang. Ribut mengganas dengan tiba-tiba. Motor ku tunggang dilibas deruan angin kencang. Aku bagaikan sekeping kertas, melayang ke sudut tepi lebuhraya yang berhampiran dengan gaung. Mungkin ajal aku sudah tiba.

Ketika motor nyaris terhumban, ada 'sesuatu' menghalang ia dari berlaku. Seolah-olah motor aku dibetulkan oleh seseorang. Aku terpinga-pinga sambil berIstifar kepadaNya. Aku bersyukur kepadaNya. Jika tidak mungkin aku telah terhumban kedalam gaung akibat dilibat ribut yang melanda. Sekali lagi aku diberi peluang melihat dunia yang fana.

Suratan atau kebetulan? Aku kurang pasti.

Thursday, December 1, 2011

Konvoi 1000km


Sebahagian dari motor yang konvoi bersama

Tanggal 25 nov aku mula melakukan persiapan untuk berkonvoi bersama teman SRF Motorsport. 7:30 petang lagi aku sudah berlepas dari Shah Alam untuk pergi ke Shell Tol Sungai Besi. Di pertengahan jalan, aku terpaksa berhenti seketika di Serdang bagi membeli alat ganti bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

Tepat jam 11:45 malam, tayar mula bergolek. SRF KL bakal menuju ke Melaka untuk melepak disana besana SRF Melaka, Muar, Segamat dan Muar. Desaru destinasi tujuan. Masih Jauh. Perjalanan sedikit terganggu kerana Motor rakan-rakanku menghadapi sedikit kerosakan. Tidak lupa juga SRF Terengganu yang datang dari jauh menyertai konvoi kali ini.

Puas meronda Melaka, JB, Desaru dan Teluk Ramunia. BBQ yang disediakan oleh masterchef SRF memang tiptop. Melepak sambil berborak dengan rakan dari cawangan lain juga banyak memberikan aku pengetahuan baru.
Sekembalinya aku dari konvoi 4 malam 3 hari baru ku sedar, 1000km telah aku harungi. Alhamdulillah aku masih teguh berdiri dan yang terpenting sekali, motor ku selamat pergi dan balik tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah.

Friday, November 25, 2011

Monoloque - Kupu-Kupu Malam (Bunyikan Semboyan)






Darah muda mengalir,
Ke seluruh tubuh,
Pesta! takkan berakhir,
Sehingga subuh,
Kenapa khuatir?
Tiada siapa suruh,

Bunyikan semboyan( bunyikan! bunyikan!)
Mari rapat datang dekat!
Kupu-kupu malam!
Kasut tumit tinggi, tas tangan LV!
Ya!

Rambut tersisip rapi,
Dandan ke tepi,
Gaya ranggi terkini,
Oh raja tempat sendiri,
Tangkap orang itu!
Humban dalam api.

Bunyikan semboyan( bunyikan! bunyikan!)
Mari rapat datang dekat!
Kupu-kupu malam!
Kunyah daun sirih khayalan,

Oh peragawati,
Mengapa diam membisu?
Menjelmalah dalam mimpi,
Di sebelahku pagi hari nanti

Siapa cepat dia yang dapat!
Siapa gatal takkan menyesal!
Siapa malu dia yang pilu,
Siapa malas, dia melepas

Kupu-kupu malam,
Liar dan terancam,
Kupu-kupu malam,
Ghairah dan teransang

Thursday, November 24, 2011

Selamat Datang Ke Desaru


Kepenatan selepas pulang dari Sungai Buloh untuk mengambil si dia. Keutuhannya jelas dirasai. Sangat memenuhi kehendak hati. Esok aku akan bertolak ke Desaru dengan rakan-rakan SRF ku. Harap semua berjalan lancar dan selamat. Kehidupan roda dua kembali mewarnai hidupku.

Ku Puja Apa Yang Dihina


Ini adalah antara hasil tangkapan tidak menjadi. Bak cakap bonda aku, usaha tangga kejayaan. Ayah pula tidak pernah bosan memotivasikan aku untuk menterjemahkan hasil yang terbaik satu hari nanti.

Lokasi : Rumah Bonda Sempang Bukit Kuda, Melaka
Motif : Mencari Si Mahkluk Halus

Wednesday, November 23, 2011

Kala Senja Berlabuh


Sekadar ria merenung senja. Menerbit rasa yang dianugerah. Walau gelap mendatang tiba. Secebis cahaya ku nanti jua.
Permandangan kala senja diruang rekreasi USJ

Lokasi : Taman USJ4
Motif : Buang Tebiat

Tuesday, November 22, 2011

Hard Rock Cafe Melaka


Baru sebentar tadi aku berborak dengan Daniel Hernandez, merupakan pengusaha HRC Melaka. Perbualan singkat mengenai cawangan terbaru Hard Rock Cafe di Melaka. Siapa tidak pernah dengar Hard Rock Cafe mungkin agak pelik. Mungkin masih ramai yang tidak tahu sekarang sudah ada di Melaka. Merupakan cawagan HRC ke-3 di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Penang. HRC boleh dikatakan boleh dijumpai di serata bandaraya utama dunia.

Walaupun belum dibuka lagi. Premis ini akan akan beroperasi bermula oktober 2012. Namun, kepada mereka yang mempunyai hobi mengumpul barangan HRC boleh mendapatkannya sekarang di Hard Rock Shop Melaka, 23 Lorong Hang Jebat. Berdekatan dengan Jonker Walk dan Sungai Melaka.

Malaysia Satahkan Sayap Sang Garuda


Debaran menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno masih terasa. Kebinggitan teriak para penyokong sang garuda yang membara, bagaikan menghangatkan seluruh ruang legar stadium. Sang Harimau Muda turun bagi mempertahankan pingat emas sukan SEA 2009.

Hari ini, sekali lagi Malaysia yang dibarisi pemain bawah 23 tahun membuktikan keampuhanan mereka sebagai sang juara. Walaupun dikejutkan seawal minit ke-5 melalui tandukan Gunawan yang tidak diawasi oleh pertahanan negara sewaktu sepakan penjuru yang diambil Okto. Malaysia bagaikan bangkit dari lena yang panjang. Gol penyamaan berjaya dihasilkan melalui usaha gigih Badrol Baktiar yang melorongkan cantik kebahagian tengah kotak penalti disudahkan dengan sempurna oleh Asra melalui tandukan terbang yang mengagumkan. Perlawanan berkesudahan 1-1 walaupun penambahan masa selam 30 minit diberikan.

Penentuan sepakan penalti, memastikan Harimau Malaya dinobatkan sebagai penghulu buana apabila Khairul Fahmi dapat menampan sepakan pemain Indonesia. 3-4! Itulah yang tercatat di skrin elektronik Stadium Gelora Bung Karno. Aku hanya mampu tersenyum bangga. Tahniah Ong Kim Swee, barisan pemain, dan mereka yang terlibat.

Merenung Masa


Wajah seorang wanita yang merenung masa depan dengan mimik muka senyum penuh bermakna.

Lokasi : Tasik Kota Kemuning
Motif : Buang masa

Monday, November 21, 2011

Patah Seribu - Shila Amzah


Walau kau tiada di sini
Ku tetap ingat semua pesanmu
Ku hidup seolah-olah kau masih ada
Bisikan kata kepadaku

Bilakah kau akan utuskan surat buatku
Aku terus menunggu tibanya kata cintamu

Oh.. patah seribu hatiku
Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama
Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi

Biar pergimu tanpa relamu
Namun hatiku tetap rasa
Kejamnya kau meninggalkanku dengan nota-nota
Cinta buat kita berdua bila kan ku bisa menerima ketiadaanmu
Kan ku bakar semua hapuskan semua kenangan

(chorus)

Patah seribu hatiku
Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama
Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi

Sayangku mohon padamu
Segera tinggalkanku
Pergilah kau ke tempat yang kau tuju
Pasti ada hikmah buatmu dan juga buat diriku

Pergilah…

Saturday, November 19, 2011

Budak Yang Dipinggirkan


Mimik muka anak buah pertamaku. Suriani Aqela yang menggemari warna merah jambu.
Lokasi : Putrajaya
Motif : Melepak bersama keluarga

Makhluk Halus Di Rumah Bonda


Masih menjadi hobi aku seperti biasa. Kegatalan tangan bergurau dengan kamera DSLR setiap kali aku dalam kebosanan. Aku sempat menangkap panorama ini sewaktu sedang menunggu rakan-rakan yang akan berkunjung bagi meraikan AidilFitri. Lokasi belakang rumah bonda menjadi sasaran.

Merawat Si Dia


Sekian lama aku tidak menunggang si roda dua. Yang menjadi nadi sepanjang aku menuntut di menara gading bagi dikurnaikan segulung ijazah. Mana mungkin aku akan melupakan jasanya. Turut menjadi hamba dikala aku bekerja separuh masa suatu ketika dulu.

Khamis 17 Nov 2011. Sama tarikhnya dengan ulang tahun adik lelaki ku, KokYong. Ketika jam berdenting menunjukkan angka 2 p.m, Enjin Yamaha Ego kembali menghembuskan nafasnya dari corong ekzos. Hati berbisik ingin menuju destinasi. Sungai Buloh! Jantungnya yang agak berkarat, ditambah pula dengan kakinya yang telah lama tempang. Shah Alam ke Sungai Buloh, tidaklah terlalu jauh. Sekitar 40km sahaja. Tapi larat ke aku. Dah berapa lama tidak menunggang jauh begitu. Tanpa berlengah, aku terus memecut meninggalkan Seksyen 25 sebelum mencelah antara kereta yang agak sibuk di sekitar Shah Alam.

Laluan Stadium Shah Alam menjadi pilihan bagi melewati Bukit Jelutong sebelum tiba di Kampung Melayu Subang. Enjin terus dihenjut bagi melempiaskan hajat untuk cepat tiba di Kampung Melayu Sungai Buloh. Aku perlu cepat kerana perlu berpatah balik ke Shah Alam untuk menjemput adikku, chida yang ingin pulang ke Melaka bersama. Perjalanan menjadi kalut apabila hujan menderu dengan tiba-tiba. Seluruh tubuhku kuyup dimandikannya. Papan tanda Hospital Sungai Buloh membuatkan aku tersenyum ceria. Lokasi S.O.S Motorsport semakin hampir untuk aku merawat ‘si dia’. Kesejukan dan kedinginan langsung aku tak endah. ‘Si dia’ perlu dirawat segera kerana aku bakal berkonvoi dengan rakan-rakan SRF Motorsport yang aku kenal sejak 5 tahun yang lalu ke Johor Bahru.

Setiba di destinasi yang dinanti, aku berbincang dengan Atok (mekanik) yang tidak asing lagi dikalangan kami. Perjanjian dipatri. Sebelum Atok menghantar aku pulang ke Shah Alam selepas rakan doktor ku yang berada di Hospital Sungai Buloh agak sibuk dengan pesakitnya.

Aku harap ‘si dia’ segera sembuh untuk aku berkonvoi beramai-ramai dengan rakan-rakanku.

Tuesday, November 15, 2011

Rauh Wajah Si Jantung Hati


Tragedi aku mencium bontot Myvi sewaktu baru sebulan memiliki kereta Toyota memang memeritkan. Belum hilang bau kilang sudah patah grill depan. MYvi habis ronyok ibarat kertas yang dikepal. Namun itu cerita berbulan sudah. Kini aku kembali dengan grill gaya terbaru edisi 2011. Teruja. Segala kesan dari kecelakaan lepas bagai hilang sekelip mata. Sejak pulang dari kerja, aku begitu asyik membelek rauh wajah baru keretaku.

Semuanya aku dapatkan dengan harga seperti membeli ikan dipasar. Bibir merekah mengukir senyuman sendiri. Grill Vios G Limited menjadi tawanan hati. Terasa seperti memandu kereta baru pula tadi. Aku bersyukur luka lama dapat dirawat rapi.

Sunday, November 13, 2011

Secalit Kebodohan Kamu

Dari dulu hidup umpama sampan yang terumbang-ambing dibuai gelombang samudera. Tergolek-golek mengikut alunan lautan. Sama seperti kehidupan aku di kota yang penuh dengan tipu daya dunia. Terkontang-kanting mencari arah. Walaupun sudah menjawat posisi yang mampu menjamin masa depan kelak. Namun, aku bagaikan tenggelam ditelan arus kehidupan yang saban hari datang menduga. Adakah aku mampu hadapi kehidupan ini dengan kudrat yang tidak seberapa.

Aku tidak lupa janji aku dahulu. Ingin mencanting dunia mengikut citarasa aku sendiri. Melewati denai kehidupan dengan cara aku sendiri. Menjelajah dan menjajah dengan budaya yang aku ingini. Kerna aku percaya, pemikiran manusia kian mundur dilambung. Terawang mimpi yang panjang. Bagai lembu dicucuk hidungnya, patuh dan taksub tanpa banyak bicara. Malangnya, mereka dari kalangan bangsaku. Bangsaku yang mula hilang erti malu. Bangsaku yang sanggup menjadi kambing hitam untuk mereka yang dahaga kuasa. Bangsaku turut menjadi pak sanggup yang menurut tanpa merungut. Aku pilu melihat tingkah kamu. Kebodohan dan ketololan kamu. Sedarlah bangsaku.

Dunia yang makin bergolak. Negara yang sudah porak. Setiap pelusuk negeri kian memekak. Bingar suara tangisan insan yang melalak. Kekusutan bangsaku. Membunuh bangsaku sendiri. Alunan kehidupan terus berkitar yang makin memamah jiwa aku dan bangsaku.

Dari Jaydi Ciplakhurty.

Friday, November 11, 2011

Resepi Asam Pedas Melaka Pure

Ramai yang bertanyakan aku soalan yang sama. Apa? Asam Pedas Melaka.
Aku sekadar berkongsi dengan korang resepi ni. Sebab aku anak jati Melaka.
So aku memang dah pantang bila makan asam pedas di restoran2 tapi rasa macam pffft!!

So ni adalah sekadar perkongsian untuk kalian.

Bahan-bahannya :

4 ketul ikan pari / parang / tenggiri (dibasuh bersih2 ye)

3 biji bawang merah

1 biji bawang putih

2 cm halia

1 mangkuk cili kering kisar

3 cm belacan (kalau nk kaw, kalau ade resdung baeq tak payah masuk)

2 cm kunyit hidup

1 sudu besar lada hitam (bawang merah, putih, halia, cili, belacan, kunyit & lada blend sekali)

3 batang serai - korg titik sampai lumat

bendi / terung (potong la ikut suka)

air asam jawa (secukup rasa)

garam + gula (gula kalau korang berminat)

minyak masak (bukan petrol)

Cara Memasak :

Panaskan minyak (kasi dia menyanyi)

Masukkan bahan2 yang korang blend tadi tu

Serai jangan lupa campak sekali

Masak sampai benda blend tu garing & masak... (pecah minyak)

Masukkan gula. (jangan banyak lak, mau manis pulak nanti.. hehe)

Campakkan ikan. Kacau, kacau dan kacau

Masukkan air asam jawa pulak. (jangan sampai masam lak)

Last sekali, masukkan bendi atau terung.

Garam secukup rasa

Biar dia mendidih seketika

Setel suda..

p/s: kalau bonda aku masak, hanya guna garam, lada kering, air asam jawa dan ikan je. Tapi kick giler.... Selamat mencuba

Wednesday, November 9, 2011

Proton-Lotus Racing Berlensa


Menghabiskan waktu seketika di Sepang International Circuit bersama rakan-rakan dari UltraRacing. Aku tertarik dengan penampilan pasukan proton dengan menampilkan pelumba drift mereka, Marcus. Pemandu berkaliber yang menjadi pelumba kepada kereta lotus di atas. Merindui zaman ini.

Tuesday, November 8, 2011

Seketika Bermain Lensa


Seorang model yang baru ingin menempa nama. Dia agak berani memperagakan apa yang ada. Namun, cukuplah sekadar gambar ini sahaja yang aku memuatnaik dari outing shoot kami.. :)

Sunday, November 6, 2011

Selamat AidilAdha

Walaupun perayaan ini tidak sepopular AidilFitri, namun ia telah meninggalkan segaris kenangan dalam diari hidupku.

Selamat tiba dari shah alam sambil ditemani adik perempuanku, chida yang ingin bersama-sama pulang ke desa bonda. Aku tetap rasa tiada apa yang istimewa dikala itu kecuali berpeluang menghabiskan masa bernilai bersama keluarga.
Seawal pagi aku telah bangun dari lena untuk membeli segala kelengkapan bagi menyediakan hidangan untuk keluarga. Aku akan menyediakan sendiri ketupat, kari daging, rendang ayam dan kuah kacang untuk santapan keluarga. Aku terasa sungguh letih kerana menjadi chef utama bagi semua hidangan bagi meraikan AidilAdha 1432H ini. Selesai segala kerja men'centong' di dapur, aku lepak keletihan di anjung rumah sambil menghirup udara segar desa.

Aku berharap keluargaku berpuas hati dengan masakan aku. Kalau tak sedap jangan dikomplen.
Selamat Hari Raya AidilAdha untuk semua penganut muslim yang seagama denganku.

Friday, November 4, 2011

Dunia Kerjaya Ku


Hari ni aku rasa dunia begitu damai. Timbunan kerja yang menenggek di atas meja telah semua aku selesaikan. Mata melirik ke arah casio usang, 11:17 a.m. Masih awal jika aku ingin pulang. Ku capai gitar di sudut kiri bilik yang menjadi tempat aku menoreh rezeki. Gitar dicapai. Jemari mula gatal memetik. Alunan muzik lembut terhasil dengan ritma yang menenangkan halwa telinga. 'Kau Ilhamku'. Itulah judul lagu yang sempat aku dendangkan sebelum bergegas meninggalkan pejabatku. Tepat pukul 12 p.m aku menerpa keluar. Pulang Awal Lagi hari ini. Yeahhhhh!!!

Wednesday, November 2, 2011

Gadis Tanggal Bra dan Baling Kearah Pengadil Apabila Gagal Uji Bakat


Gadis dari China ini telah menanggalkan branya a.k.a coli dan meletakkan di atas meja pengadil kerana gagal untuk sertai China Idol pada satu sesi uji bakat yang telah dijalankan. Berikut adalah kronologi gambar yang sempat dirakamkan oleh jurufoto bertugas. Kesian pengadil dapat sotong kering :)








Mungkin ia berbau disebabkan peluh yang membasahi tubuhnya. :)

Tuesday, November 1, 2011

Spider - Kita Satu



Seringku bertanyakan

Dimanakah hatimu sayang
Kian lama ku simpan
Bersarang cinta dalam diam

Sampai bila harusku pendam
Layan cinta dan perasaan
Dengan lafaz ku bisikkan

c/o
Kita telah ditakdir bersama
Teman hidup di dunia
Malam siang kita jadi satu
Kerana engkau adalah milikku

Pegang tanganku seeratnya
Dunia ini berputar ligat
Mengapa harus ada sesal
Andainya tersungkur tetap bersama

Sampai bila harus ku pendam
Layan cinta dan perasaan
Dengan lafaz ku bisikkan .. oh ..

Satu….. wooooo..
Kita telah ditakdir bersama
Kerana engkau adalah milikku
Kerana engkau adalah milikku


Rintihan Pentas Kehidupan




Masa : 11:11 p.m
Tarikh :1/11/2011
Lokasi : Ruang Kamar Menanti Seruan

Hidup ini memang seperti pentas opera. Manusia menjadi aktor yang melakon layar cerita dengan kehendak mereka sendiri. Memutarkan butir kata dari skrip yang ingin dipropagandakan. Diolah dan digarap kemas agar dipercayai oleh setiap insan yang menonton perilaku mereka. Inikah dunia. Makin tenggelam dengan arus pemikiran si pengarah cerita.

Apa lagi yang tinggal? Mungkin sekadar sekelumit rasa yang terpalit dihati si penonton yang setia. Barangkali juga menguris perasaaan yang menatap watak mereka. Mungkin inilah norma kehidupan di dunia ini. Tahniah kepada mereka yang berjaya menjadi pelakon layar yang berjaya. Bongkak ketawa. Tidak memikirkan langsung hati dirobek dengan lagak mereka. Hanya senyuman menyindir yang jelas terpamer sewaktu melangkah penuh bergaya di atas permaidani merah ciptaan mereka. Biarlah si penonton sekadar merawang dibuai lena. Kerna itu buat mereka bahagia.

Dedikasi kepada mereka yang terus alpa dengan dakyah seorang manusia. Moga hijab kalian sempat dibuka sebelum bencana melanda.


Monday, October 31, 2011

Bau Ketiak Lelaki Mampu Menjadi Penawar Stress


Sewaktu aku membelek kembali koleksi foto-foto lama dalam komputer ribaku, terjumpa satu gambar yang pernah aku muatnaik ke satu laman sesawang suatu ketika dahulu yang menarik minat ramai pengomentar. Dengar tajuk pun sudah pasti ada yang tergelak, tidak kurang juga yang geli-geleman. Percaya atau tidak, inilah bukti sains bagi meyakinkan lagi kalian.

Bau Ketiak Lelaki Mampu Menjadi Penawar Stress!

Beberapa tahun yang lalu, Bahagian Biologi Manusia di University Pensylvania telah melakukan satu kajian yang telah membuktikan bahawa peluh lelaki dapat membantu kaum wanita untuk menurunkan tekanan dan melancarkan perjalanan haid. Menurut laporan Jurnal Biology of Reproduction America, sebelum ini,bau ketiak lelaki yang sengaja “diproses” daripada lelaki yang tidak memakai deodoran digunakan sebagai bahan ujikaji bagi mencari bukti bahawa hidung wanita boleh “digoda” dengan bau semulajadi lelaki.

Dalam uji kaji yang tersebut, bau semulajadi (peluh) itu kemudian di sapukan ke atas bibir puluhan wanita berumur lingkungan 25 dan 45 tahun tanpa memberitahu cecair yang disapu itu adalah bau peluh lelaki. Mereka hanya diberitahu kajian tentang satu aroma wangian akan dijalankan ke atas mereka. Enam jam pertama selepas itu, skala mood wanita yang di sapu wangian yang diperbuat daripada peluh ketiak lelaki tersebut diukur. Hasilnya sungguh mengejutkan apabila bau peluh lelaki mampu menceriakan mood wanita,dan selain itu wangian ketiak lelaki juga ternyata dapat membuatkan wanita menjadi kurang stress.

Jadi untuk yang sudah berkahwin, boleh lah menjadikan mencium ketiak suami sebagai amalan seharian supaya boleh menghilangkan stress. Mungkin betul kajian dari University Pensylvania yang bau ketiak lelaki mampu menghilangkan stress. Manalah tau, mampu memperbaiki hubungan rumah tangga serta mengurangkan kes penceraian.

P/S : Sedarlah kaum hawa, bernilainya kami disisi anda..

Oleh Kerana Kami Ni Guru



Oleh kerana kami ni guru...

bila ada sedikit ganjaran,

semua pakat marah

semua mengungkit pelbagai alasan

waktu kerja jadi bandingan

paling hangat sebab cuti cikgu panjang

ada yang mencemuh sebab murid tak pandai pandai pun

ada yang mencebek sebab murid panjat pagar tanpa gerun

cikgu berniaga antara yang hebat terima kutukan

sampai ke PPD, cikgu yang pergi kursus pun dapat aduan

kereta cikgu lawa, besar pun kena bahan

guru malas, guru tak guna, guru tak bersopan...

haihhhh..... banyak lagi yang mereka bidaskan

oleh kerana kami ni guru...

kalau boleh, jangan ada kenaikan

kalau boleh, tak payah cuti, kerja berpanjangan

kalau boleh,,segala perangai murid, cikgu disalahkan

kalau boleh, segala aktiviti di sekolah tak perlu bayaran

kalau boleh, semua hal ehwal murid kena selesaikan

kalau boleh, apa sahaja masalah kesihatan murid uruskan

kalau boleh, jangan ada seorang pun murid kena jangkitan

kalau boleh, .....uruslah semua, asal murid pandai, sekolah bagus,

sukan menang, ibu bapa tiada aduan dan senyum memanjang....

oleh kerana kami ni guru..

kami dengar segala rungutan

kami baca tulisan kutukan kalian

kami telan semua kepahitan

kami melihat semua gelagat kelakuan

kami menggelengkan kepala dengan kesalan

oleh kerana kami ni guru..

kami kenal yang merungut tu dulu

luka di kaki cikgu yang balutkan

yang menulis kutukan tu dulu

pensil pun pernah cikgu hadiahkan

yang panas bersuara lantang

kami pernah didik jadi pemidato handalan

dan kamu ..kamu ..kamu kamu dan semua kamu

pun sama,..bertanding sukan cikgulah yang bertempik beri sokongan

kalau peperiksaan kamilah yang mengamin doa kejayaan kalian

kalau sakit, kamilah yang hantar ke klinik untuk rawatan

oleh kerana kami ni guru..

ilmu yang dicurah telah pun kami halalkan

tidak pula kami tuntut kembali segala yang kami berikan

sekadar...

kami akan lebih tenang

sekiranya anak murid pandai beri penghargaan

peka dan tahu mengenang

jasa orang yang telah menjadikan kamu "orang"

sebagai tanda ilmu diberi ..

telah terkesan

(semoga Allah selamatkan semua murid dan bekas murid ku dari kederhakaan ... kerana marah dek ganjaran yang di taqdirkan..ampunkan mereka Tuhan..)

#satu luahan seorang yang bernama guru menyentap sanubari... so yang diluar sana yang masih nak kritik guru/cikgu, baca dulu nukilah Norlilah Ismail ini. mungkin ini jawapannya..

Wednesday, October 26, 2011

Berkelana Membuang Masa


Kala orang lain sibuk menghabiskan masa cuti bersam keluarga, aku turut tidak ketinggalan menyertai mereka. Pulang ke desa tercinta. Hari-hari sungguh menyenangkan pabila perut sering diisi dengan masakan bonda. Sangat menyelerakan.

Aku yang sibuk mengelamun di JAS Hair Saloon & Beauty milik seorang teman terkejut pabila teks pesanan ringkas dari teman sekuliah di universiti menerobos Xperia X8 milikku. Nk datang Melaka, wat photoshot skit. Itulah isi kandungnya. Aku mempersetujui pelawaannya sambil dapat melepaking dengan rakan yang kini sibuk bertugas di Pulau Mutiara.

Dari Highway hingga ke denai kami meredah. Sedikit perkongsian ilmu dan pengalaman menjadi perbualan utama.

Terima kasih kepada Zuhairi dan Faizal Lio. Harap semua cerita menjadi rahsia.

Wednesday, October 12, 2011

Secebis Rasa Hati



Mungkin membisu lebih baik dari bersuara. Kalau diluahkan melalui bicara pun belum tentu mereka akan memahami. Bisu dan terus ia membebankan hati. Serabutkan kepala yang makin kusut membenak dalam diri.

Akhirnya, aku buka ruangan ini semula. Bercerita dengan cara aku sendiri. Agak klasik. Menekan papan kekunci mengikut bahasa yang jarang aku guna. Mahu sahaja aku menulis seperti biasa aku bertutur hari-hari. Tapi sudah jemu. Jadi inilah cara yang aku pilih. Bahasa yang agak personafikasi jika dilihat dari entri sebelum ini. Klasik dan agak kebakuan. Itu lagi aku aku. Kata-kata yang boleh ditafsir ikut kehendak mereka yang membaca. Biar apa pun tanggapannya, aku tidak kisah. Setiap orang ada cara sendiri.

Aku mungkin petah berbicara. Ramai yang mengakuinya. Tapi bukan mulut manis seperti seorang pujangga. Meluahkan apa yang terpendam tidak salah. Sekadar melencungkan sedikit kepayahan yang melanda. Hidup ini hanya persinggahan. Itu pasti. Aku sangat maklum tentangnya. Biarlah aku berkelana mencari dunia aku sendiri. Aku dengan caraku.

Terima kasih kepada yang memahami dan menyayangi diri ini. InsyaAllah kamu akan diselebungi rahmatNya. Aku akan mendoakan kalian.

Friday, October 7, 2011

Belanjawan 2012





“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUQADDIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.

Tuan Yang di-Pertua,
Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan sebagai orang-orang budiman dan berbakti.

Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

1. Alhamdulillah, dipanjatkan sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara yang menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.

2. Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan kesejahteraan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

3. Kisah kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang mempunyai lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal merdeka, namun, mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun mengendong sarat hasil bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor garis rekahan yang berpotensi memusnah, seperti, kemajmukan kompleks, perbezaan sosioekonomi yang terikat dengan faktor etnik sekalipun pemisahan fizikal wilayah negara.

4. Jelas termaktub dalam sisir masa, cerita kejayaan pembangunan Malaysia bukan semata-mata kisah yang dilakar di bilik-bilik Lembaga Pengarah bangunan-bangunan pencakar langit. Ia adalah citra yang dinukil pak tani di sawah, nelayan di laut, peneroka di ladang, penoreh getah di estet, penanam sayur di pinggir bandar, pekerja industri di kilang-kilang, usahawan-usahawan bertatih di juang niaga, barisan penjawat awam, guru dan pendidik di bilik-bilik darjah, para pensyarah di kuliah, anggota keselamatan di medan-medan, para profesional, budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi.

5. Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi.

6. Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi yang berfungsi. Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, Kerajaan akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang 6 kali ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik.

8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011 berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010.

9. Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus.

10. Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

11. Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan swasta di unjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.

PERUNTUKAN BAJET 2012

Tuan Yang di-Pertua,

12. Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

13. Di bawah peruntukan mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 30.5 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 96.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

14. Bagi peruntukan pembangunan pula, 29.8 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 13.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

15. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit, berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.

16. Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah 6 bilion ringgit akan dilaksanakan.



FOKUS BAJET 2012

Tuan Yang di-Pertua,

17. Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN

18. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.

19. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas.

20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:

• Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
• Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
• Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.

21. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk kegunaan projek berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300 juta ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.

22. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua,

23. Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;

Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan

Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.

Tuan Yang di-Pertua,

24. Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;

Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan

Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

25. Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.

26. Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar di dunia mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga menjadi perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap produk kewangan Islam terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus menggalakkan penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan cukai diberi bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama tiga tahun sehingga taksiran 2014.

27. Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit.


Tuan Yang di-Pertua,

28. InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan.

Tuan Yang di-Pertua,

29. Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi menarik pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai konsesi 10 peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi terus menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2016.

30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan.

31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.

32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis.
33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.

34. Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013.

35. Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan 420 juta ringgit. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.

36. Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa telah diberi kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council bagi membangun dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan di rantau ini.

37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar lima peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI

38. Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta ringgit seperti berikut:

Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;

Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;

Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;

Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;

Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia;

Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan

Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.

39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.

40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.

Tuan Yang di-Pertua,

41. Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

42. Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.

Tuan Yang di-Pertua,

43. Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.

44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan berikut:

Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun;

Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan

Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.

Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.

45. Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang singkat.

46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:

Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;

Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan

Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.



Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR

47. Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:

Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak;

Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem; dan

Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil.

48. Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.

49. Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.

Tuan Yang di-Pertua,

50. Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit.

51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.

52. Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet berbanding dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.

Tuan Yang di-Pertua,

53. Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.

54. Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan 150 juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012.

55. Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru.



Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM

56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;

Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan

Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen.

59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

Tuan Yang di-Pertua,

60. Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis.

61. Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.

62. Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil.

63. Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.

Tuan Yang di-Pertua,

64. Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan. Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan.

65. Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.

66. Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan.

67. Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout.

68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup.



Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT

69. Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah berikut:

Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih;

Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;

Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan

Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.

Tuan Yang di-Pertua,

70. Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini, apabila:

Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;

Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar;

Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga sebenar; dan

Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar.

Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?

Tuan yang di-Pertua,

71. Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini meliputi:

Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar;

Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan

Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.

72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150 juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.

Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah 33.2 bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.

Tuan Yang di-Pertua,

73. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100 ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.

74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut:

Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit;

Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan

Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

75. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.

76. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA.

77. Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.

78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran 220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.

79. Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.

80. Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.

81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta ringgit akan diperuntukkan untuk program ini.

82. Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan 40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.

83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang diberi kepada warganegara.

84. Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mereka ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.

Tuan Yang di-Pertua

85. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

86. Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf dengan belanja sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.

87. Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.

88. Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Tuan Yang di-Pertua,

89. Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.

90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.

91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Tuan Yang di-Pertua,

92. Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut:

Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;

Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik;

Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;

Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012; dan

Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.

93. Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.

Tuan Yang di-Pertua,

94. Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut, Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

95. Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,

96. Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut, antara yang utama, Kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10 juta ringgit.

97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300 juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1 bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi pengecualian duti setem.

98. Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai bulan April hingga Mei 2010.

99. Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150 ringgit bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan pada tahun 2012.

100. Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

101. Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi wawasan negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah.

102. Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi, demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang muda, begitu juga anak-anak zaman sekarang.

103. Selaras dengan itu, Kerajaan juga sedar kekangan institusi yang ada kini dalam mengeluarkan bantuan kepada idea-idea kreatif. Kita perlu bertanya, jika dengan struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar, adakah idea orang-orang seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs, Michael Dell, adik-beradik Wrights, Thomas Edison boleh berjaya? Lantaran, berapa banyak idea dan karya telah dibakul sampahkan yang berkemungkinan bernilai berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari situ, Kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana permulaan 200 juta ringgit.

104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan disediakan untuk latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih akan diberi latihan praktikal di GLC dan syarikat swasta supaya mereka mudah mendapat pekerjaan.

105. Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, Kerajaan telah siap membina 1,100 gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi sedang dalam pembinaan. Memandangkan populariti sukan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 15 juta ringgit bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai. Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama sukan bola sepak, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan padang tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.

106. Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton, skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga diberi tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan 30 juta ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.

107. Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

108. Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:

Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;

Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan

Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.

109. Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bersara. Bagi meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Tuan Yang di-Pertua,

110. Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan hanya berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion. Sesungguhnya tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam lipatan sejarah bahawa Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun yang lalu dan mempelopori pembangunan secara sistematik? Sebagai kesinambungan tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi nafas baru kepada kawasan pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional, rumah panjang dan kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk membina dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit, jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang. Inisiatif ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Tuan Yang di-Pertua,

111. Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal, Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

Tuan Yang di-Pertua,

112. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan

Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

113. Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai Rukun Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya untuk menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini, Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai tabungan minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi membolehkan bakal jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300 ringgit. Melalui kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.

Tuan Yang di-Pertua,

114. Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara.

115. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion ringgit.

116. Menyedari tanggungjawab, tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen yang semakin bertambah dari hari ke hari dan perlunya kita memupuk budaya politik baru bersesuaian dengan Program Transformasi Politik yang saya umumkan baru-baru ini, maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan syarat.....kedua-dua belah pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang mestilah seiya sekata bersetuju. Termasuklah yang bebas-bebas itu. Setelah dipersetujui nanti, elaun baru ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.



PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

117. Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui Bajet 2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi akan meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara di tempat yang teratas.

118. Apa yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau apatah lagi populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan gilang-gemilang buat semua anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan bergemerlapan dengan harapan dan kemakmuran bukannya masa depan suram dicengkam ketakutan.

119. Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah al-Hasyr ayat 7 yang menyeru “agar harta tidak hanya berlingkar dikalangan orang-orang berada antara kamu”, maka tidak syak lagi, Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat. Ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah, sekalipun menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa.

120. Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya dan rakan-rakan mulakan semenjak April 2009, kini telah menempuh satu puncak penanda. Pastinya, sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melakar hala tuju jelas negara dalam pusingan akhir bagi menempa wawasan kebangsaan.

121. Ia tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan prinsip meraikan kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam dengan merundingi rakyat, proses penstrukturan ekonomi melalui Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau Program Transformasi Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya fajar baru Malaysia.

122. Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana, anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi Malaysia ini, demi kemajuan negara.

123. Seyogia diperingatkan bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya tanpa laluan yang telah diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya sebermula Almarhum Tunku Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia tidak mungkin jua terjelma tanpa kestabilan politik yang dihidupkan oleh perkongsian kuasa melalui konsep Barisan Nasional yang bitara. Yang lebih utama, ia tidak mungkin dizahirkan tanpa sokongan padu rakyat.

124. Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura Malaysia yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam lautan dunia yang tidak menentu.

125. Sememangnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak tunduk kepada tekanan atau apa-apa paksaan untuk mengambil jalan yang benar dan betul demi warga Malaysia. Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukannya dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan syaksiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak. Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman meniti generasi.

126. Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat. Kepada Allah jua kita berserah.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Ingin Ketahui Lagi? Klik Sini