Monday, September 5, 2011

Sepintas Lalu


26 Ogos 2011
-Aku bakal pulang ke desa yang amat aku kasihi. Nyiur yang lembut melambai bila dibelai sang angin mula menghiasi birai mata. Menanti teman-teman yang dahulu sekolej denganku di zaman universiti di Gelanggang futsal Cheras Selatan. Objek dipergelangan tanganku direnung. Sah dah pukul 10p.m. Mana mereka? Ini kali pertama aku bakal bersua muka setelah masing-masing membawa haluan setelah bergraduat. Rakan lama berhimpun kembali. Terasa bagaikan baru semalam aku meninggalkan zaman universitiku. Berhempas-pulas beradu kelicikan menggentel bola adidas yang tersedia. Selepas 2 jam bertarung digelanggang karpet tiruan, aku bergegas untuk pulang ke desa sambil ditemani adinda tercinta, Chida. Perjalanan lancar sepanjang lebuhraya. Seolah-olah mengerti kata hatiku yang derita menanggung rindu untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

27 Ogos 2011
-Di bumi ini aku kembali berpijak. Jam di papan paparan kereta 3:13 a.m. Aku kini di negeri Hang Jebat yang terkenal dengan mitos dan sejarah yang tersendiri. Rumah kelihatan gelita. Mungkin semua sedang enak beradu melayan sang mimpi sepanjang kematian pendek. Aku terus menerpa ke kamar untuk merehatkan tubuh yang telah keletihan. Sayup mata terkatup tanpa dilengah.

28 Ogos 2011
-Aku mula sibuk mengecat rumah usang milik bonda. Saban tahun memang kerja hakiki-Ku. Tahun ini kelabu 2 tona menjadi pilihan sebelum aku sibuk menyimin kaki lima bagi menambah seri anjung bonda.

29 Ogos 2011
-Esok hari yang mungkin dinanti ramai. Aidilfitri. Tapi tidak bagiku. kesedihan menyelubungi jiwa kerana sedar Romadhon bakal berakhir. Pelbagai persiapan diperinci. Aku cukup sibuk. Mahu sahaja dipisahkan tubuh kepada lima agar semua perkara dapat diselesaikan serentak.
Bisikan Syaitan mula terlintas untuk aku mengemaskini Nikon-Ku. Setelah mendapat ketetapan. Sebuah Lensa Tamron 18-200mm F/3.5-6.3 (IF) Macro dan Tripod berjaya memikat hati. Bekalan untuk potret keluarga di pagi raya. Aku pasti.

6:45 p.m - Xperia X8 menjerit bingit. Tertera 'Harry Bro' ditalian. Abang-Ku menyatakan permintaan agar aku mencari ramuan dan bahan bagi membuat dodol. Ayah kepingin. Kereta dipecut mencari-cari kedai yang masih setia menanti kunjungan pelanggan. Senarai barang ligat dipatri dalam kepala.
1) Kelapa 25 biji
2) Tepung Sagu 1Kg
3) Tepung Pulut 5Kg
4) Gula Kelapa 5Kati.

9:00 p.m - Aku bergegas ke Parit Jawa bagi mengambil sejumlah tudung bawal yang dipesan untuk diagihkan kepada ahli keluarga bagi dipadankan dengan tema biru keluarga-Ku tahun ini.
Perjalanan pergi balik 295km ku harungi. Setiba di Teratak Bonda, berus cat segera dicapai bagi menyiapkan Tiang 'Roman' yang masih kusam tidak berwarna.



1:45 a.m - Kawah berisi santan dan ramuan bagi menghasilkan dodol diletak diatas tunku. Kami sekeluarga bergilir-gilir mengodak dan mengayak larutan selama 2 jam 15 minit. Kelikatan dodol menyukarkan lagi proses ayakan dilakukan kerana tidak boleh berhenti dari melakukannya. Nanti hangus! pesan ayah. Terasa pedih segala otot tubuh. Aku hanya mampu tersandar keletihan pabila segalanya selesai. Mata terkatup dengan sendiri tanpa dipaksa.

No comments:

Post a Comment

Ingin Ketahui Lagi? Klik Sini