Saturday, August 13, 2011

Keindahan Alam Desa


Dari rengekkan manja sang cengkerik yang tidak pernah jemu meneman malam, hingga kicauan burung yang kedengaran riang berirama. Tiada lagi bunyi kebingaran kota. Aku rasa selesa. Tenang melapang seluruh dada. Ya. Di sini kini aku berdiri. Rumah bonda yang permai di Melaka. Bayu laut yang tidak henti-henti menjamah tubuhku yang makin berisi berbanding dulu. Ku hanya mampu memejamkan mata saat jiwaku menghayati seluruh rona kampung tercinta. Bulan Ramadhan begini menjadikan lebih seronok bila dentuman demi dentuman meriam yang dimain oleh belia desa. Segala masalah bagaikan hilang sekelip mata.

Ibu tidak henti-henti berleter bila aku enggan pergi ke kedai. Maklumlah, ingin melayan badan yang sedang berpuasa. Lebih rela melekap di atas pangkin buruk di halaman rumah. Minyak petrol yang dipesan masih belum dibeli. Ingin menghidupkan enjin EX-5 adikku pun terasa malas. Petrol untuk menjana pam air untuk menimba sawah padi di belakang rumah. Ingin menimba ikan katanya. Setelah semua telah siap tersedia, seluruh ahli keluargaku turun ke bendang yang kurang menghasilkan padi. Enjin diletakkan di batas sawah bila dirasakan tempat tersebut strategik. Pam air dihidupkan. Empangan turut dibina menggunakan tanah lumpur bagi menyekat air dari memasuki kawasan yang ingin dikeringkan. Kami turut menggunakan baldi untuk menimba air bagi mempercepatkan proses mengeringkan air agar lebih mudah menangkap ikan yang kelihatan.

Lelah terasa melakukan perkara begini dibawah terik suria yang menebar cahayanya ke segenap tanah bendang. Mahu sahaja meneguk air jika ada. tapi segera akal mengingatkan yang aku sedang berpuasa. Keseronokan mula terasa bila melihat bayangan ikan yang kian sukar berenang kerana air semakin cetek. Kami menyerbu masuk dan menangkap ikan yang kelihatan hanya menggunakan tangan sahaja. Orang kampung la katakan. Sudah lali dan biasa dengan kehidupan begini. Haruan. Keli. Puyu. Sepat. Satu demi satu ikan berjaya ditangkap.

Ah! Aku rindu suasana begini. Mengingatkan zaman kecilku. Hasil tangkapan dibawa pulang untuk disiang dan dibersihkan. Aku bersyukur kehadrat Allah kerana masih memberi aku peluang merasai peluang begini. Mataku tertutup perlahan sambil bibir mula mempamerkan senyuman yang tidak manis. Tetapi kepuasan.

No comments:

Post a Comment

Ingin Ketahui Lagi? Klik Sini