Tuesday, August 16, 2011

Kebinggungan Dalam Lena

Hari ini aku berdiri di satu dimensi baru. Dua hari tidak melelapkan mata bukan lagi perkara aneh bagi diriku. Memang aku mengidap Insominia. Bak kata orang kampung, 'kelawar malam'. Berbekalkan kudrat yang makin rapuh, aku meneruskan perjalanan hidupku hari ini. Masih jauh harusku tempuh. Makin banyak perlu ku tahu. Seawal 5 pagi selesai sudah aku bersiap selepas sahur untuk berpuasa pada 16 ramadhan. Simple. Seluruh badan didandan rapi. Licin jika ditilik raut wajahku. Tiada lagi misai dan janggut seperti semalam. Nampak lebih mudah. Tidak ubah seperti remaja belasan tahun. Aku tersengeh sendiri.

Aku hanya mengenakan khakis kelabu dan t-shirt HRC Beijing. Tidak begitu formal. Fail digenggam rapi. Sempat aku mencapai kemeja merah jambu untuk dijadikan taruhan untuk hari ini. Aku meninggalkan rumah sewaku. Longlai. Enjin 1NZ-FE selamat dihidupkan. Tanpa berfikir panjang, aku memecut menghala ke Puchong sebelum menuju ke Putrajaya. Destinasi dituju bagaikan jiran sebelah. 10minit. Not bad. Sementara menunggu tirai besi dibuka, aku melelapkan mata buat seketika. Namun gagal. Aku terus menyiapkan diri. Kemeja disarung. Tali leher dijerut longlai. Cis! kasut pula berlapuk. Aku menuangkan gel rambut sebagai ganti agar sepatuku kelihatan berkilat. Kaki dihayun lesu.

Aku tidak berapa pasti apa yang berlaku sepanjang temuduga itu dijalankan. Aku tidak ubah seperti mayat hidup yang berkeliaran. Tiada kewarasan. Aku tersentak dari lena pabila semuanya selesai. Baru ku sedar, ku dalam lena. Tanpa memikirkan masa depan dan pandangan penemuduga terhadapku, aku terus keluar dari perkarangan bangunan megah dengan penuh tanda tanya. Eh! Sudah selesai ke? Baru ku sedar. Harap maklumbalas positif dari Jabatan Perdana Menteri. Aku hanya mampu menanti. Jika bukan rezeki ku, tidak mengapa. Bumi Allah luas tersedia.

No comments:

Post a Comment

Ingin Ketahui Lagi? Klik Sini