Monday, October 3, 2011

Kata Hati Menjadi Saksi


Saat rintik makin rancak menikam tanah, aku tidak ubah seperti mereka yang tidak sudah. Masih sendiri mengheret diri di tanah yang ketandusan dengan kasih. Hati ditindih menahan raungan jiwa merintih.

Dentingan atap zink sebuah pondok buruk menjadi teduhan seketika. Bingit menusuk gegendang telinga. Cuping bagai mula kalis dari irama bunyi tangisan si awan. Kelihatan air merah dari rembesan si lumpur mengalir indah. Gelodak jiwa tidak ubah seperti tanah gersang ditawan gelita. Sayup mata merenung jauh. Si hujan bagai ingin menggila. Tetap riang ia mencurah. Atau menangis meratapi nasibku yang gulana. Kepada siapa ia berpihak? Aku sudah tidak ambil kisah. Rentetan ini sama dengan drama dunia. Dipentas oleh aktor yang bertopeng manusia. Mengguris luka. Menakek hati tanpa bicara. Desiran si angin yang galak menyapa tubuhku yang merana, menyentakkan aku dari alam fana. Beginikah dunia? Dicurangi oleh mereka yang berkuasa? Menindas sesama spesis bagi penuhi nafsu buasnya. Mengecapi bahagia dari mereka yang terluka. Air mata dibalas tawa. Dunia ini milik mereka? Habis kami apa? Siapa? Menjadi mangsa dari dua gajah yang bertelagah. Terhimpit ditengah. Menangis tanpa suara. Atau hingga mengalir darah yang tidak lagi dihiasi warna. Guruh menghempas kejam kala aku masih dibawah naungan pondok buruk yang mungkin rebah. Sama seperti kata hati yang tidak lagi diendah. Perlukah aku biarkan mereka.

Singlet pagoda pemberian arwah nenda tidak cukup untuk membalut segala anggota. Tercarik. Koyak. Kusam dan luntur sudah jalinan benangnya. Menemani aku yang derita melewati titian perjalanan. Cukup untuk menghangatkan sebahagian kecil tubuh yang melidi seperti rangka. Biarkan mereka.

Mungkin perlu sahaja aku menutup mata dari cahaya. Tuli telinga tanpa irama. Membisu seribu bahasa tanpa bicara. Membiarkan rongga tanpa menghirup udara. Mungkin ini caranya. Biarkan sahaja meraka. Mereka fasih melontar hujah, tapi sayang fasik bahasa.

Kita kongsi warna mata, tapi tidak warna hati. Sang hujan kian berhenti. Aku terus menjejak mimpi. Walau mungkin tidak kembali.

1 comment:

  1. bukan bergitu saudara. ada komentar berbaur perkauman. takkan ku biar menghias laman.

    ReplyDelete

Ingin Ketahui Lagi? Klik Sini